TF02
Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Tahfiz adalah laluan pembelajaran yang menggabungkan unsur TVET dan Tahfiz iaitu latihan kemahiran serta peruntukan masa program yang mesra Al-Quran dan pengulangan hafazan bagi mewujudkan dan melahirkan Huffaz generasi teknokrat MADANI. Program ini juga akan membuka peluang kepada Huffaz lepasan institusi pengajian Al Quran/Tahfiz dan madarasah bagi mengikuti program TVET di ILP Selandar di samping meneruskan pengajian dan pemantapan hafazan sedia ada. Laluan kerjaya bagi Huffaz yang mengikuti program ini tersedia sehingga ke peringkat Diploma dan Ijazah.
Kursus Teknologi Komputer Rangkaian adalah Program Latihan TVET yang memberi pengetahuan dan latihan kemahiran teknikal yang mendalam berkaitan Bidang Rangkaian Komputer dan Teknologi Maklumat. Dalam kursus ini, pelajar akan mempelajari penggunaan aplikasi pejabat, konfigurasi perkakasan dan perisian komputer, serta asas-asas penting dalam pembinaan dan pengurusan rangkaian komputer seperti topologi, protokol, dan pemasangan kabel.
Selain itu, kursus ini turut memberi fokus kepada aspek pengurusan pelayan (server), teknologi tanpa wayar (wireless), dan pemasangan rangkaian fiber optik untuk meningkatkan kelajuan dan kecekapan rangkaian. Pelajar juga akan dilatih berkaitan keselamatan rangkaian, penyelenggaraan rangkaian, serta pengurusan projek IT yang berkesan. Pengetahuan tentang Sistem Operasi Windows dan Linux, asas pengaturcaraan serta konfigurasi peranti mudah alih dalam rangkaian turut diterapkan dalam kursus ini.
Secara keseluruhannya, kursus ini mempersiapkan pelajar untuk menghadapi cabaran dunia teknologi yang pesat berkembang, dengan memberi mereka kemahiran praktikal yang diperlukan untuk merancang, mengurus, dan menyelenggara rangkaian komputer yang efisien dan selamat di peringkat global.
Umur Minimum : 16
Umur Maksimum : 35
Tiada Pendidikan Formal Atau Mempunyai Minat, Boleh Membaca Dan Menulis
Syarat Umum:
1. menguasai tahap hafazan Al-Quran sekurang-kurangnya 3 juzuk
2. beragama Islam